Monday 19 August 2013

Mamat Tak Terkejar-kejar Ajak Kekasih Kahwin

Agak lama juga tidak mendengar khabar bekas anggota kumpulan Sepah yang cukup terkenal dengan pelbagai kontroversi, Mamat. Sementelah kehadirannya pada malam Anugerah Lawak Warna yang berlangsung malam Jumaat lalu mencuri tumpuan banyak lensa kamera. Apatah lagi kemunculan Mamat turut ditemani seorang gadis persis wajah pelakon Linda Hashim.

"Ni bakal isteri saya, Nurul Syafiqah aka jelmaan Linda Hashim", gurau Mamat sambil memperkenalkan teman wanitanya kepada wartawan

Diajak bercerita lanjut mengenai kekasihnya itu Mamat memberitahu mereka bertemu di gedung membeli-belah, Johor Premium Outlets (JPO) Johor, dan mula berkawan rapat sejak setahun lalu.

"Saya jumpa dia (Syafiqah) dekat JPO. Masa tu dia kerja di sana. Tapi ketika mula-mula kami berkawan dia tak kenal tak tahu pun yang saya ni artis. Dia pun yang tak berapa kisah sangat tau dengan saya. Macam, kami tak selalu nak telefon atau excited nak jumpa saya. Jadi itu yang saya rasa menarik tentang dia ni.

"Alhamdulillah, dia terima saya seadanya dan tahu tentang kontroversi-kontroversi saya. Kami pun dah berkenalan dengan keluarga masing-masing. Kami serius tapi untuk satu ikatan seperti bertunang atau berkahwin, buat masa ini belum lagi. Saya tak terkejar-kejar sebab saya nak dia habiskan pengajian dia dulu.

"Saya pun berdoa, kalau boleh dia yang terakhir dalam hidup saya. Saya berharap peminat semua dapat doakan hubungan kami berkekalan. InsyaAllah kalau ada jodoh an tiba masanya nanti, saya beritahu", katanya bakal membuat kemunculan semula bersama Rahim R2 dan Munir dalam pentas Maharaja Lawak Mega pada November ini dengan menggelarkan kumpulan mereka, Kucai.

Sementara itu wartawan sempat juga bertanyakan kepada Syafiqah apa yang membuatkan dia terbuka hati menerima Mamat dan gadis berusia 23 tahun ini berkata,

"Dia seorang yang serius walaupun hakikatnya dia seorang pelawak. Mula-mula tu memang saya tak tahu yang dia artis sehinggalah kawan saya beritahu saya. Saya pun masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan dunia kerjaya dia", tutur penuntut jurusan Ijazah Sarjana Perdangangan Antarabangsa di MSU, Shah Alam ini.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...