Thursday 22 August 2013

Siti Nurhaliza, Melly Goeslaw & Faizal Tahir Sertai Keluarga AF 2013

Sebut saja Akademi Fantasia, tidak sah kalau tidak ada kejutan! Kembali memeriahkan dunia seni hiburan tanahair dengan Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), buat pertama kali dalam sejarah penerbitan program realiti popular ini membawa masuk tiga orang penghibur popular yang cukup disegani iaitu Dato' Siti Nurhaliza, Melly Goeslaw dan Faizal Tahir.

Ketiga-tiga penghibur ini akan menerajui barisan tenaga pengajar sebagai 'Inspirer' (pengilham) untuk memberi bimbingan dan berkongsi pengalaman malah mereka akan memberi inspirasi kepada bintang-bintang AF dalam mempersiapkan mereka sebagai bintang masa depan.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata pemilihan ketiga-tiga selebriti ini berdasarkan kredibiliti masing-masing selain menggantikan peranan pengetua seperti musim-musim terdahulu.

"Kali ini AF 2013 tidak ada pengetua sebaliknya tiga selebriti ini dipilih bagi memberi inspirasi dan secara tidak langsung menggantikan fungsi pengetua. Ini juga sebagai perubahan pada AF kali ini supaya menjadi lebih segar dan relevan. Malah kita juga yakin ketiga-tiga selebriti ini mampu memberi sesuatu yang berbeza," katanya pada sidang media memperkenalkan tenaga pengajar AF 2013, bertempat di Rooftop Lot10, Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam pada itu Dato' Siti Nurhaliza berkata, kehadiran mereka bukan untuk mencelarukan para pelajar tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman dan memberi motovasi. Dengan pengalaman yang dikongsikan oleh beliau, Melly dan Faizal Tahir, terpulang kepada pelajar itu sendiri untuk mencipta identiti tersendiri sebagai seorang penghibur apabila mereka keluar dari akademi kelak.

"Bila saya dapat tahu AF nak diadakan semula dengan konsep yang berbeza saya terpanggil untuk menerima tawaran berkongsi pengalaman saya kepada mereka yang benar-benar bersungguh nak jadi artis yang berjaya. Saya digolongkan dalam kategori artis yang hanya mempunyai bakat. Diawal pembabitan saya dalam industri saya tak belajar vokal dan teknik-teknik nyanyian. Saya bermula dari bawah. Jadi saya rasa kenapa tidak saya kongsikan pengalaman saya selama 18 tahun ini kepada bakal-bakal bintang.

"Ia juga satu tanggungjawab besar kerana selain berkongsi pengalaman kami juga memberi motivasi kepada mereka. Kehadiran kami bukan untuk mencelarukan para pelajar malah saya rasa mereka bertuah kerana masing-masing antara kami mempunyai pengalaman berbeza dan cara yang berbeza bagaimana melalui perjalanan seni kami", kata Dato' Siti Nurhaliza disamping Melly Goeslaw dan Faizal Tahir ketika ditemui sejurus usai sidang media.

Disamping turut dibawa masuk menyertai keluarga AF 2013, tiga orang tenaga pengajar baru iaitu dua perela tari yang cukup berpengalaman, Alam Wakaka dan Suhaili sebagai koreografer. Manakala pelakon popular, Fizz Fairuz sebagai guru seni persembahan serta mengekalkan Cikgu Shafie sebagai guru vokal AF 2013.

Program AF 2013 akan bermula dengan Galaxy AF pada 2 hingga 5 September depan, diikuti dengan tayangan Prelude Top 24 pada 6 September 2013. Manakala konsert pertama akan bersiaran secara langsung setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 14 September depan di Astro Ria.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...