Thursday 12 September 2013

'Musim Asmara' Soo Winnci Bernilai RM50 Ribu, Apa Istimewanya?

Selepas mendapat sambutan menggalakkan menerusi single pertamanya, penyanyi dan pelakon bertaraf antarabangsa Soo Wincci mengorak langkah mempromosikan single keduanya, Musim Asmara. Lagu tersebut bakal dimuatkan dalam album mini beliau yang bakal berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

Lebih istimewa, demi menghasilkan sebuah klip video yang berkualiti tinggi setaraf klip video penyanyi antarabangsa, Soo Wincci sendiri sanggup melaburkan wangnya sebanyak RM50 ribu demi merealisasikan impiannya itu.

"Ini adalah MTV paling mahal saya di Malaysia. Kosnya yang tinggi kerana penghasilan video ni menggunakan kamera yang setanding dengan kamera untuk penggambaran filem. Hasilnya, sinematografi dalam video ini sangat menarik. Selain itu produksi kali ni boleh panggil sebagai produksi 1Malaysia. Sebab, pengarahnya Abhilash Chandra adalah berbangsa India, saya pula berbangsa Cina dan hero saya iaitu Akim, berbangsa Melayu.

"Saya tak kisah membelanjakan sehingga RM50 ribu kerana video ini juga sebagai hadiah saya kepada peminat-peminat saya di sini yang sentiasa menyokong saya. Saya juga berharap sasaran di Youtube nanti boleh mencecah seramai 1 juta tontonan dan diharap dapat memasuki program klip video popular MTV Asia.

"Video ini juga akan saya promosikan di Taiwan nanti, jadi bolehlah peminat-peminat saya di Taiwan lihat yang Malaysia juga boleh hasilkan klip video yang bertaraf antarabangsa", jelas Soo Wincci ketika di majlis pelancaran klip videonya itu, bertempat di Redbox Sogo, semalam.

Seperkara lagi yang menarik untuk diperkatakan, Musim Asmara menampilkan penyanyi Akim Ahmad sebagai hero. Menurut Wincci, dia sendiri yang mahukan Akim menjadi model dalam klip videonya itu. Ini kerana penyanyi itu menyerupai bekas kekasih lamanya sekaligus ciri-ciri yang dimiliki Akim menepati citarasanya.

"Saya dah lama dengar lagu Akim. Saya suka imej dia. Dia pakej. Sebelum ini kami hanya bertegur sapa ketika bertemu di beberapa acara-hiburan. Satu lagi, wajah Akim sama seperti bekas kekasih saya.

"Sepanjang penggambaran kami tidak sukar untuk mewujudkan keserasian walaupun pada awalnya bila pengarah meminta untuk kami berpandangan sesama sendiri, kami pasti tidak dapat menahan gelak. Kemudian saya katakan padanya, anggaplah saya sebagai kekasihnya untuk satu hari (penggambaran). Saya ada lah jatuh cinta sikit dengan Akim tapi sayangnya dia dah ada teman wanita. Jadi saya cuma sewa Akim untuk satu hari saja lah," seloroh bekas Ratu Cantik Dunia 2008/2009 ini.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...