Tuesday 10 September 2013

Yusof Kecewa Syamsul Yusof Nak Berhenti Mengarah

Individu yang merupakan tunjang utama kepada filem yang paling ditunggu pada tahun 2013, KL Gangster 2 iaitu Syamsul Yusof tidak kelihatan ketika tayangan perdana filem tersebut diadakan di TGV One Utama, Bandar Utama, malam semalam.

Bercakap bagi pihak anaknya itu, Datuk Yusof Haslam ketika bercakap dalam sidang media filem tersebut telah melahirkan kerisauan kepada pihak media apabila Syamsul telah menyuarakan hasrat untuk berhenti mengarah akibat kebocoran filem arahan kelapannya itu di internet.

Biarpun dipujuk dan diberikan semangat, Syamsul khabarnya masih tetap berduka dan masih tidak boleh menerima hakikat bahawa ada pihak yang sanggup mensabotaj filem yang dijangkakan bakal meraih kutipan minimum sebanyak RM 15juta melalui survey yang dijalankan di seluruh pawagam negara.

"Dia kecewa sangat. Dia kata, dia tak boleh terima apa yang berlaku ni. Saya faham perasaan dia. Sebagai anak muda tentu sukar bagi dia berdepan dengan situasi begini. Sebab itu hari ni dia tak boleh datang. Sebelum saya ke sini tadi, saya ada katakan pada di, supaya cekalkan hati. Saya akan terus menyokong dia walau apa pun yang berlaku.

"Tapi yang saya risau, dia kata dia nak tarik diri daripada industri filem. Dia dah tak mahu mengarah lagi. Syamsul ni jenis degil, kalau dia kata dia nak buat sesuatu tu, dia akan buat. Ini yang cukup membimbangkan saya.

"Sebenarnya saya juga jadi tak keruan gara-gara isu filem ini disabotaj. Tapi saya yang berusia 60 tahun ni kena tunjukkan yang saya kuat semangat di hadapan dia yang baru berusia 29 tahun.

"Iyalah, budak muda ni kadang-kadang mereka ni tak cekal", dedah Datuk Yusof Haslam mengenai luahan anaknya itu kepada wartawan.

Namun begitu sebagai otai atau orang lama dalam dunia pembikinan filem, Datuk Yusof Haslam tidak akan berdiam diri dan akan meneruskan perjuangannya dalam bidang ini. Dia juga tidak akan berhenti untuk mencari siapakah dalang yang cuba merosakkan industri perfileman negara, hingga mengakibatkan anaknya kini patah semangat dan mahu berhenti mengarah filem.

KL Gangster 2 yang merupakan filem prekuel kepada KL Gangster mula dihasilkan sejak pertengahan 2011. Filem terbitan Skop Production yang menelan kos RM 4.5 juta ni menampilkan barisan pelakon seperti Aaron Aziz, Adi Putra dan Rosyam Nor.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...